Sunday, June 27, 2010

BP June 28, 2010, Monday : Spaoh - Budak maut dibaham buaya

BETONG: Seorang murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Sebemban, Spaoh maut dibaham buaya ketika sedang memancing di tebing Sungai Kampung Sebemban, Spaoh, di sini sekitar jam 4 petang kelmarin (Sabtu).
Jurucakap polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong ketika dihubungi memberitahu mangsa yang maut dibaham buaya petang kelmarin dikenali sebagai Mohd Azroy Juti.

“Mangsa pada ketika itu dipercayai sedang bermain bersama rakan-rakannya sambil memancing ikan di sekitar kawasan tebing Sungai Kampung Sebemban, Spaoh.

“Ketika sedang leka bermain dan memancing di sungai berkenaan, seekor buaya tiba-tiba muncul dan menyeret mangsa ke dalam sungai berkenaan,” katanya sambil menambah bahawa mangsa timbul semula di sungai setelah diterkam buaya berkenaan.

Pihak polis kemudiannya menurut beliau, terus bertindak melancarkan gerakan mencari dan menyelamat setelah menerima laporan berhubung kes berkenaan di Balai Polis Betong.

Mayat mangsa yang dikenali dengan panggilan Lasu di kalangan rakan-rakannya telah berjaya ditemui oleh pihak polis sekitar jam 10 malam tadi di kawasan berdekatan dengan tebing sungai kampung berkenaan.

“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Betong untuk tujuan bedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seruai, Spaoh pada pagi hari ini (semalam),” katanya.