Monday, March 26, 2012

Sungai Niah: Surirumah Tendang Kepala Buaya Selamatkan Diri

TERSELAMAT: Millie ketika menerima rawatan segera di Klinik Kesihatan Niah, selepas terselamat daripada dibaham buaya semalam.

Millie putus jari kaki ketika selamatkan diri daripada dibaham buaya Sg Niah



NIAH: Seorang surirumah bergelut dengan seekor buaya untuk menyelamatkan diri daripada dibaham reptilia itu dalam kes terbaharu serangan buaya yang berlaku di Sungai Niah di sini, awal pagi semalam.


Dalam kejadian itu, mangsa yang dikenali sebagai Millie Nueh, 36, dari Rumah Nor Ebit di sini, mengalami kecederaan putus salah satu jari kaki kanannya setelah digigit buaya berkenaan.

Menurut sumber, Pada 14 Februari 2012, sekitar jam 6.30 pagi , mangsa telah pergi ke sebuah jeti di Ulu Pangkalan Lobang, berhampiran Taman Negara Niah di sini untuk mencuci pakaian.


Ketika sedang mencuci pakaian di jeti berkenaan yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah panjangnya, tiba-tiba mangsa berasa disambar sesuatu dipercayai buaya yang kemudian menariknya ke dalam sungai.


Mangsa kemudian mengerah sepenuh tenaga untuk melawan, termasuk menendang buaya berkenaan beberapa kali bagi melepaskan diri daripada terus dibaham.


Setelah berjaya melepaskan diri daripada gigitan buaya itu, mangsa naik ke daratan meskipun terpaksa menanggung kesakitan akibat kecederaan yang dialami.


Mangsa yang cedera kemudian dikejarkan ke Klinik Kesihatan Batu Niah untuk mendapatkan rawatan segera.


Sementara itu, suami mangsa, Lad Labang ketika ditemui di tempat kejadian percaya, buaya yang menyerang isterinya berukuran kira-kira 12 kaki panjang.


“Buaya berkenaan sempat dilihat melibas-libaskan ekornya beberapa kali sebelum menyelam selepas isteri saya berjaya menyelamatkan diri,” ujarnya sambil memberitahu, serangan buaya itu berlaku setengah jam setelah mangsa sampai di jeti berkenaan.


Difahamkan, sejak beberapa hari lalu, penduduk di sekitar kawasan itu sering melihat kelibat buaya timbul di sungai berkenaan.


Sungai itu merupakan sumber utama bekalan air bagi penduduk setempat kerana tidak mempunyai bekalan air bersih untuk mandi dan kegunaan harian lain.